Logo SMK Pending


Logo Lama
Ini adalah logo yang digunakan pada awal penubuhan SMK Pending.Mula digunakan pada tahun 1976 dan bertukar kepada logo yang baru sekitar tahun 1980an. Gambar singa yang terdapat dalam logo itu membawa maksud keberanian. Obor api mewakili sikap keberanian dan semangat padu warga sekolah.Buku melambangkan kegigihan pelajar dalam pelajaran sementara kayu hoki pula membawa semangat kesukanan. Logo ini kemudiannya ditukar seperti yang ada sekarang.


Logo Baru
Logo baru ini memperlihatkan kelainan dari segi bentuk disamping penggunaan warna yang menarik. Daun Apong melambangkan sikap warga sekolah yang sentiasa mencari ilmu. Obor api mewakili sikap keberanian dan semangat padu pelajar-pelajar dan guru-guru untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang kokurikulum dan kurikulum. Lambang buku ialah teras dalam pembinaan ilmu di sekolah ini. Kesepaduan warna-warna bendera negeri Sarawak dan negara Malaysia sesuai dengan fungsinya sebagai sebuah pusat pengajian yang akan melahirkan generasi berintelek,berkemanusiaan dan berketerampilan.


Cogan Kata (Motto)
‘Jangan Bertangguh’ dijadikan asas kepada proses pembelajaran dan pelajaran warga sekolah SMKP. Ia dipilih sebagai cogan kata berdasarkan kesesuaian agar setiap warga sekolah sentiasa berasa yakin dan berkemampuan untuk menyelesaikan tanggungjawab masing-masing tanpa ada penangguhan kerja yang boleh menjejaskan prestasi pelajar.

Sejarah SMK Pending

      SMK Pending telah ditubuhkan pada 1974 sebagai sebuah sekolah berasrama dan harian. Tujuan asrama diwujudkan adalah untuk menempatkan pelajar dari sekitar kawasan Pending yang tinggal agak jauh dari lokasi sekolah. Disebabkan bangunan sekolah belum siap dibina, sesi persekolahan SMK Pending beroperasi dengan menumpang di Sekolah Kebangsaan Bintawa. Pengetua pada masa tiu ilah Encik Ahmad bin Sabu.
      Pada tahun 1975, SMK Pending telah berpindah dengan menumpang di Sekolah Kebangsaan Lumba Kuda yang juga merupakan sebuah sekolah berasrama dan harian. Pada ketika itu, sekolah beroperasi dengan 15 orang guru, seorang kerana dan seorang pengetua.
      Pada peringkat awal, sekolah hanya mempunyai dua buah kelas sahaja, iaitu satu kelas peralihan dan satu kelas tingkatan satu. Menjelang 1975, jumlah kelas telah meningkat kepada dua buah kelas peralihan, dua buah kelas tingkatan satu dan dua buah kelas tingkatan dua. Jumlah pelajar juga telah meningkat kepada 350 orang dalam jangka masa 2 tahun. Pengetua ketika itu ialah En Abdul Rahman bin Sahari
      Pada penghujung 1975, SMK Pending telah berpindah ke tapak baru berkeluasan 4.8 hektar yang terletak di Jalan Tun Razak. Ketika itu sekolah telah beroperasi sebagai sebuah sekolah menengah harian satu siding.
      Pada awal sesi persekolahan 1976, SMK Pending telah mengalami pertambahan murid dan pertambahan jumlah kelas peralihan, kelas tingkatan satu (8 buah kelas), Kelas tingkatan 2 (6 buah kelas) dan sebuah kelas tingkatan 3 iaitu perintis yang bakal menduduki peperiksaan LCE di SMK Pending yang ketika itu dipimpin oleh En Sulaiman bin Aban. Beliau jugalah yang telah memperkenalkan motto SMK Pending iaitu “Jangan Bertangguh”
      Pada tahun  1977,  SMK Pending telah memulakan era baru dengan kelas tingkatan 4. Manakala jumlah kelas yang lain terus meningkat. Kelas peralihan bertambah  dari dua buah kelas kepada 6 buah kelas. Kelas tingkatan 1, 2 dan 3 masing-masing meningkat kepada tujuh buah kelas. Pengetua pada ketika ini ialah En Lawrence Chong dan digantikan dengan En Lim Ah Lek bagaimanapun beliau hanya berkhidmat beberapa bulan sahaja
      Pada tahun ini juga, majalah sekolah yang pertama iaitu APONG telah diterbitkan. SMK Pending turut melakar kejayaan paling berharga dengan menjadi johan peringkat negeri Sarawak dalam pertandingan pameran sains
      Pada tahun 1978, kumpulan pertama pelajar yang menduduki peperiksaan MCE membuahkan hasil apabila seorang calon iaitu Ting Teck Chuon telah mencapai keputusan terbaik dengan mendapat 7 unit. Pengetua pada ketika ini ialah En Gona Theodore Sargunam (1978 – Jun 1981)
      Pada tahun 1979, SMK Pending terus membangun dengan pesat dengan jumlah pelajar meningkat kepada 1500 orang. Jumlah kelas turut bertambah selari dengan kemudahan sukan seperti kewujudan gelanggang tenis. SMK Pending melakar sejarahnya menjadi tuan rumah kejohanan sukan ke 15 antara sekolah.
      Pada penghujung Jun 1981 En Reggie Jerson merupakan pengetua baru SMK Pending selama 6 tahun Kemudian En Lawrence Chong kembali semula ke SMK Pending sebagai pengetua pada 1987. Pada tahun 1993, prestij sekolah semakin meningkat melalui perkhidmatan dua orang guru pakar iaitu En. Phang Sin Nan (guru pakar fizik) dan Pn Rabiah Jawa (guru pakar Sejarah). En Lawrence Chong bersara pada 1996 dan diganti dengan Puan Hajjah Fatimah Abdullah.

      En Sukeman bin Suradi telah mengambil alih tugas Puan Hajjah Fatimah selama dua tahun sebelum diganti oleh En Ahmad Haji Hamdan. Beliau diganti oleh En Joseph Ng Shan Tsing sehingga 31 Mei 2012. Mulai 1 Jun 2012 sehingga kini SMK Pending mengorak langkah baru bersama pimpinan baru, Tuan Pengetua En Ivor Emmanuel Lim. Beliau telah mengubah landscape SMK Pending dan menukar motto SMK Pending daripada Jangan Bertangguh kepada “Berkesan dan Cemerlang”. Beliau kemudiannya bersara pada penghujung tahun 2016 dan digantikan dengan pengetua baru iaitu En Yong Ing Thung

Mengenai saya

Saya Guru Penyelaras Bestari di Sekolah SMK Pending. Sekolah ini terletak di Kuching, Sarawak. Blog ini adalah usaha dan inisiatif saya sendiri untuk berkongsi maklumat , idea serta memaparkan segala aktiviti yang telah dijalankan di SMK Pending. Diharapkan usaha ini, dapat membantu menjaya dan memartabatkan SMK Pending sebagai sebuah sekolah yang boleh dibanggakan. Teruskan membaca dari masa ke masa.

 
me know wordpress - 100+ wordpress tutorials for beginners