Kursus Pemantapan Jati Diri Pengawas Sesi Petang telah diadakan pada hari Sabtu, 25 Jun 2011. Program sehari itu yang bermula pada pukul 7:30 pagi dan tamat pada pukul 1:30 tengahari melibatkan seramai 40 orang pengawas sesi petang. Kursus ini dikendalikan oleh kaunselor pelatih UNITAR, Cik Hanum Bt. Bolhi dengan guru bimbingan dan kaunseling iaitu Puan Norezayu dan Cik Raja Nurulhuda serta guru penasihat pengawas iaitu En Khalic dan Puan Yeo. Cikgu Mos dan Cikgu Ngien, guru bimbingan dan kaunseling sesi pagi turut hadir bagi sama-sama memeriahkan dan melancarkan perjalanan program pengawas kali ini.
Para peserta menunjukkan maklum balas yang positif terhadap program ini dan sedikit sebanyak objektif program berjaya dicapai. Antara objektifnya adalah untuk melahirkan pemimpin yang dapat menjalankan tugas dengan berkesan, memupuk semangat berpasukan dan kerjasama dalam organisasi dan mengukuhkan kebertanggungjawaban, fikiran dan sikap positif serta nilai-nilai murni dalam kalangan pengawas sekolah. Antara aktiviti yang dijalankan adalah ice-breaking dikendalikan oleh Cik Hanum, ceramah peranan dan tanggungjawab pengawas sekolah oleh En. Khalic b. Abdul Hamid, ceramah motivasi oleh Encik Mos, dan aktiviti Latihan dalam Kumpulan (LDK). LDK 1 iaitu Kepimpinan Melalui Teladan dikendalikan oleh Cik Raja Nurulhuda dan LDK 2 iaitu Telefon Buruk dikendalikan oleh Cik Hanum.
Majlis penutupan rasmi diadakan secara ringkas dan diakhiri dengan acara penyampaian hadiah kepada setiap kumpulan. Pihak penganjur iaitu Unit Bimbingan dan Kaunseling dan Lembaga Disiplin Sekolah berharap agar para peserta dapat mengukuhkan jati diri dengan penuh berwawasan dan menjadi suri teladan terbaik untuk anak didik SMK Pending secara keseluruhannya.